Subscribe:Posts Comments

Sunday, February 13, 2011

ASPIRASI : Tujuh resolusi yang dicapai dalam Simposium DiLema Melayu

ASPIRASI : Tujuh resolusi yang dicapai dalam Simposium DiLema Melayu

SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada Simposium Dilema Melayu di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur, semalam.  
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Simposium Dilema Melayu hari ini menyarankan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi penerangan istilah sebenar rasis atau perkauman dalam usaha menjadikan orang muda Melayu sebagai nadi pemikir dan pelaksana agenda bangsa ke arah melestarikan pencapaian cemerlang kerajaan.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, saranan itu adalah antara tujuh resolusi yang dicapai oleh simposium tersebut.

''Resolusi ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat,'' katanya ketika berucap pada majlis makan malam perdana sempena Simposium Dilema Melayu anjuran Aspirasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengerusi Penasihat Simposium Dilema Melayu, Datuk Dr. Adham Baba.

Simposium sehari itu membabitkan dua sesi diskusi politik dan ekonomi oleh pemimpin Melayu antaranya Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Simposium yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu dihadiri kira-kira 5,000 peserta.

Pada majlis sama, Mohd. Isa turut melancarkan lagu baru Aspirasi bertajuk 'Aspirasi'.

Mohd. Shahar berkata, antara resolusi lain bertemakan Menakhodai Perubahan Generasi dalam Mengekalkan Kedaulatan Negara Bangsa yang dicapai pada simposium itu ialah:
 
Menyokong penuh usaha kerajaan meneruskan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang masih relevan melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi dan model ekonomi baru dan golongan muda Melayu harus mengambil tanggungjawab serta menggerakkan inisiatif dalam memacu ekonnomi negara.
Menyarankan kerajaan dan media memainkan peranan lebih meluas dan konsisten dalam membangkitkan kesedaran berkaitan identifikasi bangsa Melayu iaitu bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan.
 
Menyokong penuh pendekatan Perdana Menteri berkaitan pemilihan calon plihan raya yang berkaliber dan boleh menang tanpa mengambil kira jawatan dalam parti atau senioritinya dengan harapan UMNO dapat membuat transformasi terhadap kualiti kepimpinan khususnya berkaitan sistem keahlian dan pemilihan calon sebagai pemimpin masyarakat.
 
Menyarankan semua ahli politik Melayu mempersiapkan diri dengan menguasai ilmu sejarah negara dan informasi terkini bagi melaksanakan penyatuan Melayu atas kepentingan negara bangsa dengan mengenepikan ideologi berbeza berdasarkan faktor penentu yang utama iaitu kestabilan politik.
 
Mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran untuk terus memperkukuh dan mempertahankan kurikulum Sejarah di sekolah dengan memastikan penulis sejarah sentiasa mengutamakan fakta sebenar khususnya berkaitan tamadun dan perjuangan orang Melayu di samping mengharapkan sokongan pertubuhan kerajaan (NGO) mempertahankan ketuanan Melayu terutamanya apabila dicabar pihak tertentu.
 
Mencadangkan kepada pihak universiti untuk mengukuhkan usaha meningkatkan penghayatan nilai-nilai kehidupan mulia berserta dengan sokongan peranan ibu bapa memperkasa institusi kekeluargaan ke arah negara berpendapatan tingi dan kehidupan masyarakat harmoni.

No comments:

Post a Comment