UTUSAN MELAYU - PRO-ASPIRASI MENANG DI UTHM
Calon Evolusi, Proaspirasi menang besar di UTM dan UTHM
JOHOR BAHRU 23 Feb. - Calon-calon kumpulan mahasiswa dikenali sebagai Evolusi memenangi 40 daripada 57 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2010/2011 yang berakhir semalam.
Calon Evolusi memenangi 12 kerusi umum dan 30 kerusi fakulti, manakala calon bebas meraih dua kerusi fakulti.
Daripada jumlah itu, Evolusi menang tanpa bertanding di lima kerusi umum dan tiga kerusi fakulti di Fakulti Kejuruteraan Awam kampus UTM Kuala Lumpur, manakala calon promahasiswa memenangi 13 kerusi iaitu tiga kerusi umum dan 10 kerusi fakulti di UTM Skudai.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajudin Ninggal (gambar) di Dewan Sultan Iskandar UTM Skudai, malam semalam.
Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) berkata, seramai 11,899 atau 85.43 peratus mahasiswa keluar membuang undi kali ini.
"Pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan perkembangan itu menunjukkan kematangan mahasiswa dalam menjalani pemilihan MPP," katanya.
Sementara itu, calon proaspirasi mendominasi pemilihan MPP Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan memenangi 19 kerusi umum dan fakulti berbanding promahasiswa yang memperoleh 11 kerusi.
Proaspirasi turut menang besar dalam perebutan kerusi fakulti apabila menguasai 13 kerusi berbanding promahasiswa hanya tujuh, namun, persaingan sengit dalam perebutan kerusi umum apabila masing-masing meraih enam dan empat kerusi.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTHM, Prof. Dr. Abdul Aziz Abdul Samad berkata, peratusan penuntut yang keluar mengundi adalah 75.85 peratus atau 7,122 daripada 9,390 mahasiswa.
"Seramai 59 calon bertanding merebut 20 kerusi fakulti dan 10 kerusi umum. Sejarah turut tercatat apabila buat julung kali, penuntut antarabangsa, Nashwan Hamid Yahya Al-Emad dari Yemen turut dipilih menjadi calon yang memenangi pilihan raya kampus kali ini," katanya.
Abdul Aziz yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP berkata, kemenangan Nashwan Hamid, 23, penuntut tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar membuktikan warga UTHM bersifat terbuka dan memberi ruang kepada penuntut antarabangsa untuk menyuarakan hak dan kebajikan mereka.
Sementara itu, Nashwan Hamid berkata, hubungan erat dengan penuntut tempatan banyak membantu kemenangannya yang memperoleh lebih 1,000 undi.
Dengan manifesto 'Berikan undi anda kepada orang yang berhak mendapatkannya', dia berazam untuk mewakili penuntut antarabangsa bagi memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.
"Selain itu, saya juga akan berusaha untuk memohon pihak universiti menyediakan kemudahan penapis air di seluruh kampus terutamanya di perpustakaan," katanya.
No comments:
Post a Comment