Menjelang PRK : Meraikan Demokrasi Kampus.
Hak & Tanggungjawab Mahasiswa.
1. Terdapat satu pandangan umum yang agak popular bahawa pilihan raya kampus (PRK) hanyalah suatu bentuk aktiviti yang tidak begitu penting yang dijalankan saban tahun untuk memilih barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP di sesebuah universiti.
2. Malah, ada yang beranggapan, ia sekadar ‘fardhu kifayah, orang lain buat kita tak payah’ justeru, golongan ini langsung memandang sepi PRK seolah-olah ia memang benar-benar tidak penting. Bagi mereka, cukuplah jika ada yang turun membuang undi, atau kalau tidak ada sekali pun, pihak universiti masih berkuasa memilih MPP berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada.
3. Sikap tidak ambil berat, tidak peka dan mungkin juga tidak bertanggungjawab ini sebenarnya amat-amat merugikan. Demokrasi yang cuba dipupuk secara amali ini pastinya tidak mampu dicapai seoptimum mungkin lantaran kurangnya penyertaan daripada golongan mahasiswa terhadap perlaksanaannya.
4. Sekali pun ada yang secara sukarela terlibat secara aktif termasuklah sewaktu berkempen, meraih undi, membuang undi dan sebagainya lagi, namun tanpa sambutan yang sewajarnya, demokrasi itu sudah tentu tidak dapat diraikan seperti yang diharap-harapkan.
5. Justeru mahasiswa haruslah menyisih jauh segala pandangan lembam bahawa pilihan raya kampus adalah sesuatu yang tidak penting. Pandangan lembam beginilah yang akhirnya menyebabkan mahasiswa dilabel sebagai lesu dan tidak bermaya.
6. PRK bukan sekadar tentang membuang undi, juga tidak semata-mata berkenaan memilih calon yang kacak dan cantik-cantik seperti yang tercetak di atas kertas-kertas undi sahaja. Lebih dari itu, pilihan raya kampus ialah suatu proses untuk memaknakan kebebasan bersuara mahasiswa. Ia bukan lagi semata-mata tentang teori dan idealisme. Inilah detik untuk mempraktikkannya.
7. Mahasiswa perlu menggunakan peluang dan ruang yang disediakan ini sebaik-baiknya untuk menyatakan hak dan impian mereka. Gunakanlah proses ini untuk menyemarakkan harapan anda sama ada ia bersangkut-paut dengan hal-hal kebajikan mahupun isu-isu sejagat. PRK inilah medannya untuk anda memilih wakil terbaik yang mampu menyalurkan aspirasi anda supaya didengar oleh pihak universiti dan kerajaan.
8. Akhir kata, gunakanlah hak bersuara anda sebaik-baiknya. Undilah calon-calon yang diyakini mampu membawa seluruh isi universiti ke arah yang lebih cemerlang. Sejarah politik kampus kita jelas membuktikan bahawa kepimpinan MPP yang sedia mendokong aspirasi universiti seperti yang terkandung di dalam Misi dan Visi USM adalah yang terbaik!
Aspirasi Universiti Adalah Aspirasi Mahasiswa!
Bersama Universiti Manjana Transformasi.
korg, bile prk eh??
ReplyDelete