Kepimpinan Pro-Aspirasi seiring visi universiti
SENAI – Gaya kepimpinan kumpulan Pro-Aspirasi yang sentiasa memperjuangkan isu-isu untuk mengembangkan potensi mahasiswa seiring dengan visi dan misi universiti menjadi pilihan warga kampus.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa (Hema) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr Mohamad Tajudin Ninggal berkata, rata-rata kepimpinan Pro-Aspirasi digalakkan bukan sahaja mampu membicarakan mengenai hal kebajikan sebaliknya mampu mengetengahkan isu-isu yang lebih besar yang mana bersifat global.
Menurutnya, ini bermakna kebanyakan kumpulan tersebut tidak terkongkong kepada isu politik di universiti semata-mata, tetapi dapat memainkan peranan besar dalam menjalankan tanggungjawab membantu pembangunan pihak universiti.
“Bukan itu sahaja, kepimpinan Pro-Aspirasi juga sentiasa menyumbang idea-idea bernas untuk kebaikan warga kampus sekali gus turut membantu kepimpinan negara dan seluruhnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mohamad Tajudin berkata, pihak universiti tidak mahu menghasilkan kepimpinan yang semata-mata berfikir tentang ketidakpuasan hati dan tidak tahu bersyukur dengan setiap kemudahan yang diberikan sebaliknya harus memperjuangkan dan menyokong pembangunan universiti untuk kebaikan seluruhnya.
Beliau berkata, ideologi ini berbeza dengan pemikiran kumpulan Pro-Mahasiswa yang mana dilihat tiada mempunyai matlamat khusus tentang agenda perjuangan di peringkat universiti.
Menurutnya, rata-rata kelompok tersebut sekadar menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran dan pembangunan pihak universiti dan berfikir di tahap negatif semata-mata.
“Oleh itu, saya mencadangkan dan berharap agar Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa hendaklah bersatu padu dan berganding bahu serta bergerak aktif bagi membantu pihak universiti.
“Tidak salahnya bergabung tenaga untuk kebaikan bersama dan melihat perkara ini ke hadapan serta berfikiran matang dan tidak terperangkap dengan anasir-anasir negatif hingga menyempitkan minda masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Pro-Aspirasi terus mengungguli pilihan raya kampus (PRK) bagi sesi 2011/2012 apabila berjaya mengukuhkan kedudukan di tujuh universiti awam di negara ini.
Antara universiti yang dikuasai oleh kumpulan yang melabelkan diri mereka selari dengan aspirasi kerajaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
No comments:
Post a Comment