Subscribe:Posts Comments

Friday, December 31, 2010

Aspirasi serah resolusi kepada PM

Aspirasi serah resolusi kepada PM



MOHD. Shahar Abdullah (kanan) bersama Mohd. Zafri Mohd. Yunus pada sidang akhbar mengenai Simposium Dilema Melayu di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) akan mengemukakan satu resolusi berhubung isu pengangguran di kalangan lepasan universiti pada Simposium Dilema Melayu yang akan berlangsung pada Februari ini.

Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah berkata, resolusi tersebut adalah berdasarkan kajian yang akan dijalankan oleh persatuan itu terhadap 3,000 responden bermula 1 hingga 31 Januari depan.

Menurut beliau, resolusi itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, ia merangkumi cetusan permasalahan membabitkan bekas pemimpin mahasiswa yang sukar mendapat pekerjaan ideal walaupun menunjukkan rekod kepimpinan sepanjang menerajui persatuan, kelab atau biro di universiti.

"Resolusi itu adalah hasil daripada suara anak muda dan perkara yang hendak dinyatakan kepada kerajaan berhubung masa depan mereka. Begitu juga masalah membabitkan bekas pemimpin mahasiswa, mereka telah menunjukkan kepimpinan cemerlang sepanjang menuntut di universiti.

"Malangnya, ketika memohon kerja, pihak industri lebih memandang kepada pencapaian akademik berbanding mengutamakan mereka yang memiliki kepimpinan sewaktu berpersatuan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Hadir sama Naib Presiden Aspirasi, Mohd. Zafri Mohd. Yunus.

Mohd. Shahar berkata, sepanjang kajian dan pemerhatian yang dilakukan Aspirasi sejak 2004, 40 peratus bekas pemimpin mahasiswa sukar mendapatkan pekerjaan ideal yang menepati kelayakan kepimpinan mereka.
"Mereka ini telah dilatih sifat kepimpinan sejak berada di universiti. Adalah rugi kepimpinan itu mati di situ sahaja jika mereka tidak diberikan peluang untuk terus memimpin menerusi pekerjaan yang ideal sebaik menamatkan pengajian.

"Oleh itu, resolusi yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri diharap dapat membuka mata kerajaan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran mencari pekerjaan," jelasnya.

Mengenai simposium itu beliau memberitahu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju untuk menyampaikan ucaptama bertajuk 'Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi'.

Katanya, simposium berkenaan juga akan menemukan pemimpin UMNO dan Pas menerusi diskusi politik bertajuk 'Cabaran Kepimpinan Melayu di Masa Hadapan'.

Diskusi itu menurutnya, akan melibatkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita menjangkakan simposium itu akan dihadiri 2,000 orang yang terdiri daripada anak muda. Ia akan diakhiri dengan satu majlis makan malam bersama Perdana Menteri," tambahnya.

No comments:

Post a Comment