Subscribe:Posts Comments

Friday, December 31, 2010

Cari punca pemimpin pelajar gagal dapat kerja sesuai

Cari punca pemimpin pelajar gagal dapat kerja sesuai

KUALA LUMPUR: Jika dibiarkan senario bekas pemimpin pelajar yang aktif dalam kokurikulum serta menyumbang kepada universiti dan pelajar lain, tetapi tidak mendapat pekerjaan sesuai selepas menamatkan pengajian, ia boleh menjadi barah dan menimbulkan pandangan negatif di kalangan individu dan keluarga mereka terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) akan mengadakan satu soal-selidik membabitkan 3,000 orang berusia 20 hingga 40 tahun termasuk mereka yang masih menuntut serta sudah bekerja bermula 1 hingga 31 Januari depan, bagi mengenalpasti punca situasi itu.


Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah berkata, hasil soal selidik itu akan dijadikan resolusi sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Majlis Makan Malam sempena Simposium Dilema Melayu anjuran Aspirasi pada 12 Februari depan.

“Soal selidik itu bertujuan mencari punca mereka tidak mendapat pekerjaan ideal kerana sejak 2004, kita menjangkakan daripada keseluruhan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara, 35 peratus daripada mereka adalah pemimpin pelajar dan 40 peratus daripada pemimpin pelajar itu tidak mendapat pekerjaan sesuai.

“Kita tidak mahu melihat dan membiarkan mereka begitu saja. Pada masa sama, kita tidak tidak mahu bercakap atas angin, tetapi mengikut fakta disediakan.

“Yang penting, kerajaan sedar mereka memerlukan pekerjaan lebih baik dan sesuai serta tidak adil membuka lebih banyak universiti sedangkan peluang pekerjaan disediakan tidak mencukupi dan memadai bagi pelajar,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Simposium bertajuk Dilema Melayu: Perspektif & Konklusi yang bakal disempurnakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama sehari, pada 12 Februari depan.

Simposium sehari itu akan membabitkan beberapa diskusi politik dan ekonomi selain ucaptama oleh Mahathir dan disudahi dengan makan malam bersama Najib.

Katanya, satu kerugian bekas pemimpin pelajar tidak mendapat pekerjaan ideal kerana mereka dilatih antara empat hingga lima tahun sepanjang mengikuti pengajian, aktif dan banyak menyumbang kepada universiti.

Beliau berkata, bekas pemimpin pelajar adalah orang berbakat, terlatih dan berkemahiran terutama berkaitan pengurusan masa, mengatur mesyuarat dan mengendalikan majlis konvokesyen tetapi malangnya sering kecundang dalam temuduga yang lebih mengutamakan kecemerlangan akademik.

“Mungkin di Malaysia ketika ini, majikan memilih pekerja berdasarkan kecemerlangan akademik sehingga kurang memberi tumpuan kepada bakat yang dimiliki,” katanya.

No comments:

Post a Comment