Jangan Takut Berjuang Bersama ASPIRASI
Adakah benar kesemua ahli Persatuan Islam mesti menyokong Pro Mahasiswa (ProM)?? Persatuan Islam merujuk kepada organisasi seperti Kelab Iqra’(KI),Sahabat Surau, Rakan Masjid,Usrah, dan kelab-kelab kerohanian di kolej-kolej kediaman yang lain. Secara tradisinya itulah yang sering diperkatakan. Persatuan Islam cukup sinonim dengan gerakan subversif ProM. Kepercayaan ini seterusnya menjadi budaya organisasi dan meracuni pemikiran ahli-ahlinya. Akhirnya ahli-ahli Persatuan Islam terutamanya bagi adik-adik yang baru, lebih cenderung mengikut senior-senior mereka menyokong ProM secara membabi buta hingga mempercayai perjuangan ProM adalah hanya omong-omong kosong yang hanya mengunakan Persatuan Islam sebagai landasan untuk kepentingan orang-orang tertentu.
Budaya ini diterap sehingga sokongan diberi tanpa terlebih dahulu membuat penilaian secara ilmiah dan intekletual benarkah sesuatu ideologi itu benar-benar memperjuangkan hak kebajikan dan suara mahasiswa. Bahkan ahli-ahli baru yang bersikap neutral atau memihak kepada ProASPIRASI sering dipandang sinis sehinggalah mereka terpaksa memilih untuk tetap bersama Persatuan Islam, atau meninggalkannya jika terus menyokong ProASPIRASI. Kebanyakan pelajar-pelajar baru yang ingin menguasai dan mempelajari ilmu menjadi keliru apabila sesetenggah ahli ProM yang sangat Radikal menghasut pelajar-pelajar baru sehingga mereka keliru yang mana benar dan tidak benar mengenai isu yang dimanipulasikan oleh golongan ProM ini.
Saya faham sebenarnya ramai ahli-ahli dalam persatuan Islam sendiri tidak begitu menyokong tindakan sebahagian pemimpin mereka dalam politik kampus. Dengan imej pembangkang, berkempen tanpa etika, membawa semboyan politik luar masuk ke dalam kampus, ianya sudah pasti menjejaskan nama baik persatuan Islam yang selama ini dibangunkan oleh perit jerih ahli-ahli mereka. Tetapi suara mereka disekat oleh suara minoriti yang lantang dan keras membawa propaganda ProM.
Bukan semua pula kumpulan minoriti penyokong ProM ini datang dari kepimpinan persatuan Islam, bahkan rangkaian mereka muncul dari pelbagai latar belakang dan kumpulan. Bermula dan berkembang di Lembah Klang, gerakan ini secara halus menembusi rangkaian-rangkaian persatuan Islam tanpa disedari. Malangnya suara majoriti ahli-ahli persatuan Islam lesu dan sepi, tunduk patuh pada kepimpinan minoriti itu tanpa banyak bicara. Tidak pernah mempertikaikan siapakah dalang di belakang kumpulan minoriti yang merosakkan imej persatuan Islam ini.
Bagaimana saya mengetahui perkara ini? Siapakah antara dalang ProM dalam persatuan Islam? Apakah nasib ahli persatuan Islam yang setia menyokong ProASPIRASI? Tunggu... Tunggu siri-siri pendedahan saya seterusnya…
No comments:
Post a Comment