Simposium Dilema Melayu
ISU dilema Melayu dijangka kembali hangat dibincangkan dalam Simposium Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 12 Februari ini.
Sempena simposium sehari itu yang kebanyakan peserta ialah golongan belia, pihak penganjur, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) telah menjemput empat tokoh untuk memberikan pandangan awal mereka mengenai isu itu.
Tokoh terbabit iaitu Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE ; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), SHARIFF HAMID; pelakon dan pengarah drama, ROSYAM NOR serta Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), DR. ZUBIR HARUN mendedahkan kepada wartawan Utusan Malaysia, ROHANA MAN dan NIZAM YATIM baru-baru ini bahawa masih banyak dilema orang Melayu yang perlu diselesaikan.
UTUSAN: Apakah dilema yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang?
MOHAMED MALIKI: Daripada perspektif orang muda, dilema Melayu adalah apa yang melingkari kelompok pemuda Melayu iaitu dari segi pegangan aset, kerjaya dan keupayaan mereka dalam ekonomi.
Dari segi pegangan aset, berikutan sistem ekonomi kita yang bersifat pasaran terbuka, nilai hartanah adalah sangat tinggi dan tidak mampu dimiliki anak-anak muda ini. Di Pulau Pinang sendiri di bahagian pulau, kalau rumah teres, harganya lebih RM500,000. Kalau saya sebagai penjawat awam di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan tangga gaji N44, saya tidak mampu beli sampai saya pencen. Saya kena beli di Seberang Perai.
Isu sama juga wujud di Kuala Lumpur, apatah lagi apabila ia hendak dijadikan sebagai bandar raya mega. Jadi isu ekonomi dan perkara yang melingkarinya adalah isu paling utama.
Dilema-dilema seperti ini telah menekan orang muda Melayu dan mengubah gaya hidup mereka sehingga akhirnya menghakis segala nilai-nilai terpuji yang sepatutnya mereka miliki.
Akibat hambatan kehidupan ini, isu-isu kecil seperti kenaikan harga minyak dan tol semuanya menjadi perkara besar yang disebut dalam perbualan harian. Ini adalah dilema yang kalau tidak diselesaikan, boleh mengancam survival orang Melayu pada masa akan datang.
SHARIFF: Bagi saya, dilema orang Melayu sekarang adalah dari segi politik dan ekonomi. Kalau kita bandingkan dengan kaum-kaum lain dalam bidang ekonomi, kita sebenarnya jauh ketinggalan dan berada di kedudukan ketiga.
Dari segi politik, kita juga berpecah, bukannya dua atau tiga, tetapi sebenar berpecah lima. Jika orang Melayu bersatu, ia boleh melonjakkan keupayaan mereka dalam ekonomi, politik dan sosial. Bagi memastikan dilema ini dapat diatasi, kita kena bina masa depan untuk orang Melayu, bukannya bina orang Melayu untuk masa depan.
Dilema lain adalah untuk mewujudkan perpaduan. Orang Melayu dan bumiputera bukan kecil sebaliknya 67 peratus daripada penduduk negara. Perpaduan ini akan membolehkan mereka mempunyai satu suara, yang seterusnya boleh digunakan bagi memperbaiki kelemahan dalam bidang pendidikan, ekonomi, politik dan budaya.
Kaum kita juga perlu lari daripada dilema budaya takut. Kita perlu menjadi juara untuk membela bumiputera dan orang Melayu. Kaum kita ini adalah hebat kerana kita merupakan khalifah. Kenapa hendak takut dengan sesiapa. Buangkan budaya ini tak boleh, ini kita akan kalah.
ROSYAM: Dilema orang Melayu sekarang adalah dari segi sikap ibu bapa yang terlalu memberi fokus kepada pencapaian akademik anak-anak semata-mata sehingga melupakan kokurikulum dan pelbagai kemahiran hidup yang sepatutnya dikuasai.
Kaum lain khususnya orang Cina telah memberikan tumpuan kepada bidang ini sejak zaman datuk nenek kita dahulu. Saya nak tanya, kalau traktor rosak, kalau jentolak rosak, ada tak orang Melayu boleh baikinya?
Saya membesar di Kuala Lumpur dan saya tahu bahawa bukan hanya akademik sahaja yang boleh membangunkan belia Melayu, tetapi kemahiran yang ada. Kemahiran ini kalau kita korek bersama dan buka mata mereka, insya-Allah ekonomi Melayu akan jadi kuat dan di situlah politik kita akan jadi kuat dan kaum lain akan segan dengan kita.
Saya juga lihat dilema yang dihadapi belia Melayu pada hari ini adalah sikap mereka yang mahu disuap. Mereka harus disuap, terus dikunyah dan lepas itu, kita kena tolak masuk ke dalam tekak mereka.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu belia Melayu supaya berjaya dalam hidup termasuk memberikan pinjaman. Tetapi kenapa mereka tidak nampak benda ini, sebaliknya asyik sibuk dengan Facebook. Malaysia antara negara tertinggi yang menggunakan Facebook dengan jumlah sembilan juta orang. Kenapa jadi macam ini? Ini kerana anak- anak Melayu kita sibuk memfitnah dan memburukkan orang lain dalam laman sosial ini.
No comments:
Post a Comment